Cara Jadi Agen Hartanah
Sejak akhir-akhir ini ramai yang berminat untuk menjadi agen hartanah tapi tidak tahu cara jadi agen hartanah. Saya akan cerita serba sedikit sebagai panduan untuk korang. Selepas lebih 4 tahun berada dalam industri ni, saya yakin sesiapa pun boleh berjaya dalam bidang ni.
Mungkin ada yang bermula secara part time dengan harapan dapat menambah pendapatan keluarga dan ada juga yang mencari kebebasan kewangan. Tidak kurang juga yang telah dibuang kerja dan sedang mencari peluang yang baru. Apa pun situasi dan keadaan anda, teruslah melangkah dan yakin dengan apa yang anda lakukan. Buat dan terus buat sampai anda berjaya. Jangan pandang belakang lagi.
Cara Buat Duit Dengan Agen Hartanah
1) Melalui Komisyen Jualan / Sewaan
Kerja ejen hartanah ni boleh menghasilkan income yang besar. Inilah tarikan utama kenapa ramai yang tertarik dengan bidang ni. Sebagai ejen hartanah, tugas kita adalah untuk pastikan jual beli atau sewaan hartanah berjaya. Bila berjaya, kita dapat komisen jualan yang dikira dari harga rumah tersebut.
Contohnya anda berjaya jual satu unit rumah berharga RM500,000 dan komisyen pula ialah 3% (ini komisyen standard pasaran di Malaysia) iaitu bersamaan RM15,000. Daripada RM15,000 ini anda akan kongsi dengan agensi. Nisbah perkongsian ini bergantung kepada senioriti anda. Katakan anda layak terima 60% daripada jumlah komisyen tersebut di peringkat permulaan sebagai junior REN, so pendapatan anda ialah RM9,000.
Besar kan? Itu baru satu jualan. Bayangkan kalau anda jual 3 kes sebulan, so berapa anda dapat collect. Tapi komisen jualan bukanlah satu-satunya pendapatan yang anda boleh buat melalui kerjaya ni tau.
2) Melalui Pendapatan Sampingan Lain
Anda juga boleh dapat pendapatan sampingan lain dan pendapatan sampingan ni bukan sikit. Dalam belian atau jualan rumah, pembeli dan penjual bukan setakat perlukan khidmat ejen hartanah. Mereka juga mungkin perlukan:
- Peguam
- Kontraktor untuk ubahsuai rumah
- Servis untuk untuk baik pulih atau selenggara rumah
- Alat sekuriti dan kawalan serangga
Kita boleh kenalkan mereka dengan pembekal servis yang kita rasa boleh buat kerja. Biasanya pembekal servis ni akan tawarkan kita fi perujuk (referral fee). Kalau seorang perunding hartanah tu aktif dalam jual beli, insyaAllah sebulan dia boleh terima sekitar RM3,000 ke RM4,000 sebulan daripada fi perujuk sahaja.
Kita juga ada advantage yang orang lain tak ada. Kita adalah orang yang paling dekat dengan pasaran hartanah dan tahu peluang pelaburan lebih awal berbanding orang lain. Setengah ejen hartanah dia gunakan peluang kerjaya ni untuk melabur. Kebanyakan mereka adalah pelabur hartanah yang berjaya. Jadi anda nampak sekarang potensi kerjaya ni?
Kelebihan Menjadi Ejen Hartanah
1) Potensi Pendapatan Lumayan
Saya dah terangkan kat atas tentang pendapatan seorang ejen hartanah. Dalam bidang ini bukan perkara pelik sebenarnya bila seorang perunding hartanah berjaya boleh dapat RM20,000 ke RM30,000 sebulan. Selain daripada komisen, dia juga boleh dapat pendapatan sampingan lain dan boleh jadi seorang pelabur hartanah.
2) Kerja Ini Mencabar Tapi Tidak Terlalu Sukar
Saya juga seronok untuk katakana peluang kita untuk berjaya dalam bidang ni lebih mudah berbanding kerjaya lain. Ini kerana kalau kita pasarkan listing yang boleh laku, kita akan ada jualan. Peranan kita dalam closing masih besar tapi listing yang baik akan terjual dengan sendiri. Kadang-kadang walaupun seorang perunding hartanah tu tak mahir dalam closing, pendiam dan tak pandai bina hubungan, dia masih boleh buat jualan konsisten kerana dia berjaya dapat listing yang baik dan seterusnya agen lain bantu jualkan.
Ini berbeza kalau kita jual produk lain macam insuran contohnya. Nak yakinkan pelanggan tu saya rasa mungkin susah sikit kerana kita jual benda tak nampak dan kita mesti ada banyak pengetahuan tentang produk dan keperluan pelanggan. Tapi saya taklah kata kerja ni senang. Ianya mencabar dan ada liku-liku yang kita kena hadap terutama bila kita baru dalam bidang ni. Kita juga kena ingat, bila klien minta kita urus jual beli hartanah mereka, ianya adalah amanah yang besar. Kalau kita berjaya bantu mereka, ini sekaligus akan berikan kita kepuasan.
3) Kepuasan Kerja
Kebanyakan orang biasa hanya jual atau beli rumah sekali atau dua kali seumur hidup mereka. Keputusan nak jual beli rumah ni adalah keputusan yang sangat penting. Klien mungkin beli rumah pertama, atau dia jual rumah kerana nak beli rumah baru. Ada yang lebih serius. Nak beli rumah untuk mak ayah. Atau jual kerana masalah kewangan.
Dalam kata lain, jual beli hartanah melibatkan impian jangka panjang. Dan adalah menjadi tugas kita untuk penuhi impian tu. Bila kita beri khidmat nasihat yang betul dan kita berjaya bantu mereka, saat kita lihat betapa gembiranya mereka dapat kunci rumah atau dapat jual rumah, ianya adalah satu kepuasan yang tak dapat kita beli dengan wang ringgit.
4) Masa Fleksibel
Semua kelebihan yang saya sebut tadi juga datang dengan masa yang fleksibel. Kita tentukan sendiri masa kerja kita. Kita tak terikat dengan waktu pejabat dan insyaAllah kita akan ada lebih waktu untuk keluarga dan anak-anak.
5) Modal Rendah
Selain itu, modal kerja bidang ni juga secara relatif, lebih rendah berbanding kita cuba kerjaya atau bisnes lain. Paling minimum nak jadi perunding hartanah, kita hanya perlu bayar kursus perunding hartanah, yuran penyertaan agensi dan ada modal sikit untuk jalankan kerja.
6) Kawal Masa Depan
Dan yang paling penting sekali, kita boleh tentukan hala tuju karier kita. Bukan lagi bos atau majikan. Kita bertanggungjawab sepenuhnya dekat mana kita satu hari nanti. Kalau usaha sungguh-sungguh, insyaAllah kita akan berjaya. Kalau malas, kita gagal.
Best kan kerja ni? Tak juga. Apa jua kerja sekalipun dah tentu ada cabaran dia. Saya akan terangkan yang ni nanti. Tapi sebelum tu, jom saya kongsikan macam mana….
Tugas Agen Hartanah
1) Dapatkan Lead Penjual
Sebagai perunding hartanah, kita beri khidmat kepada dua jenis pelanggan iaitu pemilik dan pembeli hartanah. Dalam kata lain, kita dapatkan hartanah untuk kita jual dari pemilik, ini kita panggil sebagai listing dan dapatkan pembeli untuk listing tu. Bunyi macam mudah, tapi langkah kerja ni ada banyak. Pertama sekali kita buat kerja untuk dapatkan listing. Kerja ni kita panggil prospecting yang mana kita cari pemilik yang berminat nak jual rumah dan guna khidmat agensi kita.
2) Buat Analisis
Bila kita dah dapat pemilik yang berminat untuk guna servis kita, semak hartanah mereka untuk pastikan rumah tersebut kompetitif untuk kita pasarkan. Kemudian kita sampaikan analisis kita kepada pemilik dan beri nasihat supaya rumah boleh terjual.
3) Inspection
Bila pemilik setuju, buat temu janji dengan mereka untuk periksa keadaan hartanah. Langkah ini kita panggil sebagai inspection. Semasa inspection,bina hubungan dengan pemilik dan terangkan proses jualan rumah kepada mereka. Kita juga ambil gambar rumah dan kaji keadaan hartanah mereka. Kita beri nasihat yang patut supaya rumah boleh terjual. Di akhir inspection, dapatkan lantikan jualan dari pemilik.
4) Iklankan Listing
Tugas seterusnya ialah kita iklankan listing tersebut, biasanya dekat medium pemasaran online macam Mudah.my. Iklan tu juga kita pantau supaya bakal pembeli boleh jumpa kalau mereka cari.
Bila ada pembeli hubungi, bina hubungan dengan pembeli dan saring mereka. Dekat sini kita nak pastikan pembeli ada motivasi dan dah bersedia untuk beli rumah. Kemudian, buat temujanji untuk pembeli tengok rumah.
5) Viewing Dan Closing
Semasa viewing, bina hubungan baik dengan bakal pembeli dan teman mereka untuk tinjau keadaan rumah. Kita juga akan yakinkan mereka kenapa listing tersebut sesuai dengan mereka. Kalau pembeli berminat, kita jalankan proses rundingan dengan pemilik. Setelah berjaya, pembeli dan penjual akan tandatangan borang tempahan. Pembeli akan bayar wang tempahan kepada agensi kita pada tahap ni. Wang inilah yang akan jadi komisen kita kalau jual beli selesai.
6) Pinjaman Dan Guaman
Selepas tu, kita bantu pembeli tu untuk dapatkan pinjaman dan khidmat guaman. Setelah pinjaman lulus, pembeli dan penjual akan tandatangan perjanjian jual beli. Bila habis proses inilah baru kita dapat tuntut komisen kita dari agensi. Dalam proses pindah milik mula, kita bawa penilai bank ke rumah. Kita juga mungkin kena kemaskini status kerja pindah milik kepada pembeli dan penjual. Pada hujung proses, kita akan buat serahan kunci kepada pembeli.
Panjangkan proses ni? Setiap proses ni pun ada cabaran dia. Sebab tu lah pendapatan yang kita dapat dari kerjaya ni berbaloi.
Cara Menjadi Ejen Hartanah
1) Ejen Hartanah vs Perunding Hartanah
Sebenarnya artikel yang saya tulis ni adalah tentang cara nak jadi perunding hartanah. Bukan ejen hartanah. Terma perunding hartanah dan ejen hartanah ni ada beza. Ejen hartanah adalah mereka yang ada kelulusan sijil, diploma atau graduan dalam bidang hartanah. Nak dapat kelulusan ni mereka kena belajar 2-3 tahun. Mereka kemudian buat buat praktikal 2 tahun lagi dan ditemuduga oleh Lembaga Penilai Pentaksir Dan Ejen Hartanah (LPPEH). Bila lulus tu mereka dapat lesen dan boleh buka agensi hartanah.
Perunding hartanah pula ejen hartanah tadi lantik untuk jalankan transaksi jual beli hartanah. Boleh kata macam pembantu ejen. Bila perunding hartanah jual rumah, komisyen akan dibahagi antara mereka dan agensi. Orang kebanyakan biasanya tak tahu tentang beza dua ni. Artikel ni saya tujukan untuk orang awam yang nak jadi perunding hartanah. Bila saya guna perkataan ejen hartanah tu, saya maksudkan perunding hartanah sebenarnya. Jadi, nak jadi perunding hartanah ni ada syarat ke? Jawapannya, ada.
2) Syarat Dan Kelayakan
Bila seseorang tu nak jadi perunding hartanah, dia mestilah:
- Berumur 18 tahun ke atas
- Tak bankrap
- Hadir kursus yang LPPEH anjurkan
- Buat sepenuh masa (ada sesetengah agensi benarkan kalau anda nak buat part time).
Sebenarnya nak jadi perunding hartanah ni tak susah pun. Anda tak perlu ada kelayakan yang tinggi.
Tapi ini tak bermakna pengalaman lepas anda tak relevan. Seorang peguam yang jadi perunding hartanah contohnya ada banyak kelebihan. Dia dapat fahami kontrak perjanjian dan proses jual beli. Ini satu advantage semasa proses rundingan.
Jurutera boleh terapkan etika kerja yang tersusun dalam kerjaya ni. Banker sudah pasti mahir dengan selok belok pembiayaan hartanah. Ejen insuran pula sudah ada kemahiran untuk buat prospecting. Kerjaya ejen hartanah ni kerjaya yang universal. Tak kira latar belakang, anda boleh bawa pengalaman anda ke bidang ni untuk berjaya.
3) Boleh Berjaya Ke Kalau Buat Part Time
Macam saya kata, walaupun syarat jadi ejen hartanah ni kena full-time tapi ada agensi yang benarkan anda buat full-time. Persoalannya bukan boleh ke tidak buat part-time. Tapi patut ke tidak? Kalau kerja anda yang satu lagi tu fleksibel dan tak ikut waktu pejabat, anda boleh berjaya sebagai perunding hartanah.
Tapi kalau kerja satu lagi tu ikut waktu tetap, misalnya dari 8 pagi ke 5 petang, jalannya agak sukar. Walaupun ada ejen berjaya yang masih bekerja, tetapi tak ramai. Bila ada kerja tetap, kita susah nak fokus. Pembeli dan penjual akan hubungi kita bila-bila masa. Mereka nak tengok atau minta kita jualkan rumah. Kalau kita konsisten gagal layan mereka, mereka akan hubungi ejen lain. Mereka juga mungkin kurang percaya kalau mereka tahu kita ni adalah ejen hartanah part-time.
Satu lagi ialah walaupun kerjaya ni masanya fleksibel, tapi masa tak pernah cukup. Hari Sabtu dan Ahad, akan penuh dengan aktiviti viewing dan inspection. Hari Isnin ke hari Jumaat, kita kena cari listing dan buat pengiklanan. Kena berurusan dengan peguam dan jurubank. Kena buat follow-up. Akhirnya, kerjaya ni akan jadi macam full-time juga.
Saya cadangkan anda buat full-time. Namun begitu, anda lebih tahu diri anda macam mana. Kalau anda rasa boleh buat part-time, teruskan. Cuma tips dari saya ialah, kalau anda buat part-time, tetapkan niat bahawa part-time tu sementara sahaja. Anda memang nak buat full-time setelah keadaan tu mengizinkan.
3) Bincang Dengan Keluarga
Bila nak buat keputusan untuk masuk ke bidang ni, perkara pertama yang anda kena buat ialah bincang dengan pasangan dan keluarga. Keputusan untuk jadi perunding hartanah ni keputusan besar, terutama sekali kalau anda ada kerja tetap.
Yakinkan keluarga dan orang terdekat supaya anda dapat sokongan moral. Ini sangat penting kerana anda pasti akan berdepan cabaran bila masuk bidang ni nanti. Dengan sokongan ahli keluarga, jalan kita nak atasi cabaran dan berjaya tu lebih mudah.
4) Persiapkan Kewangan Dan Kelengkapan
Seterusnya anda kena buat persediaan kewangan. Sebelum masuk ke bidang ni, saya nasihatkan anda semak bajet bulanan dan potong belanja yang tak perlu.
Perkara yang bukan keperluan macam Astro, pakej internet yang mahal, hobi mahal eloklah kita cantas sementara (atau selamanya). Ini supaya belanja bulanan kita tu minimum. Bila belanja kita minimum, kita akan mampu bertahan lebih lama sehinggalah kita terima komisen yang pertama.
Untuk menjadi ejen hartanah ni juga kena ada modal. Anda kena sediakan duit untuk perkara berikut:
- Yuran penyertaan Kursus Perunding Hartanah yang dianjurkan oleh Lembaga Penilai Pentaksi Dan Ejen Hartanah – RM600
- Yuran penyertaan agensi – sekitar RM200
- Kos untuk jalankan aktiviti, termasuk kos perjalanan dan marketing untuk hartanah yang anda jual – sekitar RM1,000 – RM2,000 memadai untuk permulaan.
Selain itu, anda juga kena ada sedikit simpanan yang sama dengan 3 bulan kos sara hidup. Ini kerana untuk kita selesaikan satu jual beli hartanah sehingga dapat komisen pertama, mungkin akan ambil masa sekitar 3 bulan. Jadi anda perlukan simpanan tu untuk bertahan pada 3 bulan pertama.
Tinggi ke modal permulaan ni? Tak tinggi sebenarnya kalau anda bandingkan dengan bisnes lain.
Tapi kalau anda tak dapat sediakan jumlah yang saya sebut ni, ada satu cara lagi yang anda boleh buat. Bila anda sertai bidang ni, buat sewa rumah terlebih dahulu. Ini kerana komisen sewa hartanah kita boleh dapat lebih cepat berbanding kes jualan.
Biasanya untuk sewa, kes tu boleh selesai sekitar seminggu ke dua minggu setelah anda iklan dan dapat penyewa yang berminat. Jadi kalau anda rasa minat dengan bidang ni tapi kos permulaan tu macam satu halangan, jangan bimbang. Ada cara yang anda boleh ikhtiar melalui sewa tu insyaAllah.
Satu lagi perkara yang anda kena sediakan ialah kelengkapan. Kelengkapan minimum yang anda mesti ada ialah:
- Kenderaan
- Komputer atau laptop
- Telefon bimbit
- Kad bisnes
- Banner
Kad bisnes dan banner tu agensi akan sediakan dan biasanya termasuk dalam yuran pendaftaran agensi.
5) Daftar Dengan Agensi
Setelah persediaan rapi, cari dan sertai agensi yang berdekatan. Tapi agensi hartanah ni ada banyak. Kalau anda nak berjaya, anda patut sertai agensi yang ada ciri berikut:
- Latihan: Agensi yang baik akan selalu beri latihan kepada perunding hartanah mereka. Ini sangat penting untuk jadi ejen hartanah yang berjaya.
- Bilangan perunding hartanah: Berapa ramai ejen di bawah sesebuah agensi? Semakin ramai perunding hartanah semakin baik. Senang nak kerjasama dan dapatkan listing daripada rakan sejawatan. Bilangan ejen yang ramai juga petanda agensi tersebut lebih berstruktur.
- Team leader: Anda juga perlu tahu, ada tak team leader yang akan kawal selia. Ini kerana team leader ni la yang akan beri panduan kepada anda. Dia akan jadi mentor.
- Kerja berpasukan: Saya sarankan sertai agensi yang buat kerja berpasukan. Yang ni mungkin anda boleh tengok dekat media sosial. Kalau ejen hartanah satu agensi tu, nampak selalu ada aktiviti bersama, tu petanda agensi yang baik.
- Agensi berlesen: Anda boleh semak lesen agensi di laman web LPPEH. Elok buat, tak mahu nanti bila dah join tengok-tengok broker haram rupanya.
Selain daripada agensi, anda juga patut pertimbang siapa team leader anda nanti. Ramai yang gagal dalam bidang ni, mereka tersilap masuk agensi atau berada di bawah team leader yang lemah.
Macam mana nak tahu sama ada agensi dan team leader tu boleh bagi sokongan? Yang ni agak susah nak tahu. Tips saya ialah anda tanya mereka yang dah berada dalam bidang ni untuk syorkan anda kepada agensi dan team leader yang sesuai.
6) Hadir Kursus Perunding Hartanah
Semua perunding hartanah wajib hadir kursus yang Lembaga Penilai, Pentaksir Dan Ejen Hartanah anjurkan. Antara topik yang anda akan belajar ialah:
- Pengenalan kepada pasaran hartanah
- Asas industri hartanah
- Piawaian Agensi Hartanah Malaysia
- Praktis agensi hartanah
- Kemahiran membuat rundingan
- Asas guaman hartanah
- Undang-undang berkaitan hartanah
- Kemahiran IT dalam hartanah
Setelah tamat kursus, anda akan dapat sijil. Serahkan salinan sijil ni kepada agensi dan mereka kemudian akan daftarkan anda ke LPPEH.
7) Suai kenal Dengan Agensi Dan Pasukan
Seterusnya, luangkan masa untuk belajar tentang proses dan prosedur agensi. Anda juga perlu jumpa team leader dan kenal ahli kumpulan. Kalau agensi ada sediakan latihan untuk ejen baru, bagi saya, anda wajib sertai.
Walaupun anda dah hadir Kursus Perunding Hartanah dengan LPPEH, kursus tu sebenarnya lebih kepada teori. Untuk latihan yang lebih praktikal, belajarlah dengan mereka yang senior di agensi.
Anda masih bersama saya? Sekarang tiba masa saya nak terangkan tentang…
Kenapa Ada Perunding Hartanah Gagal
Sepanjang pengalaman saya menguruskan agensi, ramai perunding hartanah gagal kerana faktor berikut:
- Tidak ada matlamat yang jelas: Kita mesti ada matlamat yang jelas dan besar dalam bidang ini. Barulah tindakan kita akan meyusul.
- Tak fokus: Ramai yang sertai bidang ni gagal sebab tak fokus. Mereka ada kerja atau bisnes lain. Bila tak dapat beri tumpuan untuk jalankan aktiviti, seorang perunding hartanah tu akan gagal.
- Tidak berdisiplin: Kita mesti ada disiplin untuk buat kerja yang sepatutnya dalam bidang ni. Kerja paling penting ialah untuk dapat dan iklankan listing. Yang ni tak boleh tinggal.
- Tak mahu belajar dan tak boleh diajar: Ada yang buat sepenuh masa, fokus, tapi gagal juga kerana tak mahu belajar dan tak ikut nasihat mereka yang lebih senior.
- Tak dapat tunjuk ajar yang betul: Bila kita masuk ke bidang ni, kita kena ada strategi jualan yang betul. Kena tahu listing macam mana kita patut fokus, berapa bilangan listing dan harganya. Kadang-kadang tak ada orang beritahu kita tentang perkara ni dan kita beri tumpuan kepada perkara yang tak menghasilkan jualan. Sesetengah perunding hartanah juga ada cita-cita besar. Masuk bidang ni terus nak jual hartanah puluhan juta sedangkan dia tak ada pengalaman dan tak mampu nak survive lama dari segi kewangan. Jangan buat kesilapan ni. Sertai agensi dan pasukan yang baik supaya anda dapat panduan yang betul.
- Ada circle yang salah: kalau kita ada masuk ke dalam pasukan atau bergaul dengan mereka yang negatif dan tak ada cita-cita nak buat jualan, kita pun akan terikut perangai yang sama.
- Cepat putus asa: Akan ada saat dalam kerjaya ni, semua yang anda buat serba tak kena. Klien view rumah tapi tak beli, pinjaman tak lulus atau pindah milik tak berjaya. Semua ni cabaran yang kita kena redha kalau nak bertahan lama dalam industri ni.
- Mahu kerja senang: ada juga yang masuk ke bidang ni kerana mereka anggap kerja ni senang. Ini mindset yang salah. Tak ada kerja senang dalam dunia ni. Kita mesti usaha bersungguh-sungguh. Sekurangnya dalam bidang ini, usaha kita tu akan bagi pulangan yang berbaloi.
- Tak bertindak: banyak mana kita tahu tentang ilmu hartanah dan jualan, tak ada guna kalau kita tak bertindak. Ada sesetengah perunding hartanah masuk ke bidang ni hanya nak belajar. Dia ada banyak pengetahuan dalam serba perkara, tapi jualannya kurang. Dia tak bertindak. Orang macam ni pun akan gagal.
Anda dah bersedia nak jadi perunding hartanah? Jom hubungi saya sekarang. Klik sini
Juga boleh klik link ini.
Nas Rubaee
Team Manager
Landsworth Properties
016-3621515